Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU

Saturday, January 29, 2011

Sultan Abdul Rahman Muazam Syah Sultan Riau Lingga Ke-10


Sultan Abdul Rahman Muazam Syah merupakan Sultan Riau Lingga Ke-10. Baginda mendapat kuasa daripada bonda baginda Tengku Embong Fatimah Binti Sultan Mahmud Muzafar Syah, Yang Dipertuan Besar Riau Lingga ke-8. Sultan Mahmud Muzafar Syah tersebut telah diturunkan dari tahta oleh Kompeni Belanda pada tahun 1857 kerana tiada mahu turut arahan dan peraturan mereka. Kompani Belanda kemudiannya meminta Yang Dipertuan Muda Raja Abdullah serta kerabat2 Diraja Riau Lingga untuk menabalkan saudara kandung Sultan Mahmud Muzafar Syah iaitu Tengku Sulaiman sebagai Yang Dipertuan Besar Riau Lingga ke-9 bergelar Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah.


Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah mangkat pada tahun 1883 dan tidak mempunyai putera yang dapat menggantikan baginda, sebab putera baginda Tengku Daud yang menjadi Tengku Besar telah mangkat terlebih dahulu.

Anak saudara almarhum iaitu Tengku Embong Fatimah Binti Sultan Mahmud Muzafar Syah kemudiannya ditabalkan sebagai pengganti almarhun Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. Kompani Belanda serta Yang Dipertuan Muda Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi dan kerabat2 Diraja Riau Lingga kemudian nya menabalkan Tengku Embong Fatimah bagi menggantikan almarhun Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. Setelah 2 tahun kemudian Tengku Embong Fatimah meminta persetujuan bersuaminya, Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi, Yang Dipertuan Muda Riau ke-10 untuk menyerahkan kuasanya kepada puteranya, Raja Abdul Rahman menjadi Sultan Yang Dipertuan Besar bergelar Sultan Abdul Rahman Muazam Syah pada tahun 1885.


Sultan Abdul Rahman Muazam Syah memerintah Kerajaan Riau Lingga daripada kediaman rasmi baginda diDaik, Lingga. Manakala ayahanda baginda, Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi yang memegang jawatan Yang Dipertuan Muda Riau ke-10 memerintah daripada kediaman rasmi Yang Dipertuan Muda Riau diPulau Penyengat.


Mulai tahun 1899 setelah mangkatnya Yang Dipertuan Muda Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi mangkat diDaik, Lingga, Kompani Belanda mula memberi tekanan kepada Sultan Abdul Rahman Muazam Syah dengan memberikan arahan arahan secara paksaan. Sebagai permulaan Jawatan Dipertuan Muda Riau yang sepatutnya disandang oleh saudara kandung Sultan Abdul Rahman Muazam Syah sendiri iaitu Raja Ali Kelana tidak dibenarkan. Sebaliknya Sultan Abdul Rahman Muazam Syah dikehendaki memegang kedua dua Jawatan Yang Dipertuan Besar dan Yang Dipertuan Muda Riau.


Sultan Abdul Rahman Muazam Syah kemudian memindahkan pusat pemerintahan dan kediaman rasmi baginda dari Daik – Lingga ke Pulau Penyengat pada tahun 1903. Sejak itu Sultan Abdul Rahman Muazam Syah jarang jarang pergi ke Lingga kecuali pada upacara upacara rasmi seperti “Mandi Safar” dan lain lain. Sebagai wakil Kerajaan dikawasan Lingga baginda mengangkat Raja Abdul Rahman Bin Abdullah.


Pada tahun 1905 Kompeni Belanda mula memberikan tekanan politik serta mempersempit kan kemerdekaan Kerajaan Riau Lingga dengan memaksa Sultan Abdul Rahman untuk menandatangani kontrak yang menghendaki Sultan supaya menurut arahan arahan yang tertera didalam kontrak tersebut, seperti bendera Belanda haruslah dinaikkan lebih tinggi daripada bendera Kerajaan Riau Lingga dan sebagainya. Namun Sultan Abdul Rahman berserta kerabat kerabat baginda yang bertindak sebagai penasihat kerajaan Riau Lingga membuat bermacam macam tindakan dan tidak mengikuti arahan arahan Kompeni Belanda seperti yang terdapat didalam kontrak tersebut.


Sementara itu Tengku Umar iaitu putera Sultan Abdul Rahman yang memegang jawatan Tengku Besar (sama seperti Tengku Mahkota), mula membentuk semacam barisan tentera sukarelawan Kerajaan Riau Lingga di Pulau Penyengat. Kompeni Belanda yang mula resah serta takut bangkitnya kembali semangat jihad seperti yang ditunjukkan diwilayah ini oleh Raja Haji Fisabillah, telah berusaha untuk mencegah daripada membesarnya tentera sukarelawan Kerajaan Riau Lingga tersebut. Oleh yang demikian, Kompeni Belanda cuba memaksa Sultan Abdul Rahman untuk satu lagi kontrek perjanjian baru yang merugikan darjat kedudukan, marwah, kedaulatan serta kebendaan Kerajaan Riau Lingga. Namun tekanan daripada pihak Kompani Belanda untuk menandatangi kontrak tersebut ditolak oleh Sultan atas nasihat pembesar pembesar baginda yang tegas seperti Raja Ali Kelana, Raja Khalid Hitam dan kerabat kerabat terdekat baginda yang bertindak selaku penasihat Kerajaan Riau Lingga.


Pada minggu pertama bulan Safar tahun 1329 Hijrah bersamaan dengan awal bulan Februari tahun 1911, Sultan Abdul Rahman Muazam Syah pergi ke Daik – Lingga untuk melakukan upacara “Mandi Safar” dan pada hari tersebut jugalah Kompeni Belanda mula melakukan rampasan kuasa terhadap pemerintahan Kerajaan Riau Lingga di pusat pemerintahannya diPulau Penyengat. Pada pagi itu, sebuah kapal perang Belanda telah mendekati Pulau Penyengat dan mendaratkan beratus ratus orang askar “marsose”nya dan mula mengepung istana istana Kedaton, tempat kediaman Tengku Besar, Raja Ali Kelana dan tempat tempat lainnya diPulau Penyengat itu. Setelah itu datanglah Kontelir (Pegawai Daerah Belanda) H.N.Veemstra dari Tanjung Pinang untuk menyampaikan sebuah pemberitahuan yang berbunyi:-


PEMBERI TAHU


Dengan nama JANG DIPERTUAN BESAR GOVERNEUR GENERAL BETAWI dichabarkan :


Maka adalah Seri Paduka Government Hindia Nederland menimbang fardu ini hari djuga SERI PADUKA TUAN SULTAN ABDULRAHMAN MU’ADZAM SYAH dan TENGKU UMAR (TENGKU BESAR) Keradjaan Riau Lingga serta daerah takluknya diberhentikan dari pada pangkatnya itu.


Maka Tuan Sultan diberhentikan dari pangkatnja itu sebab banjak kali melanggar Politik Contract; beberapa kali djuga diberi nasihat oleh SERI PADUKA GOVERNEUR GENERAL BETAWI dan SERI PADUKA TUAN BESAR RESIDENT TANDJUNG PINANG. Maka itu dengan tiada Tuan SULTAN mengindahkan atau mengingatkan perdjandjian jang akan mengubahkan apa-apa jang tiada patut itu. Dan tiada sekali-kali akan melanggar Politik Contract lagi dan menurut segala perintah dan aturan SERI PADUKA GOVERNMENT dan wakilnja.


Dan djuga Tuan SULTAN hendak mendjalankan dan mengaturkan bersama-sama Wakil GOVERNMENT pemerintahan jang adil didalam Negerinja. Maka mungkirlah ia didalam perdjandjiannja dan djuga melanggar aturan jang menentang pasal memakai Bendera HOLLANDA.


Maka TENGKU BESAR diberhentikan dari pangkatnja itu sebab sama sekali ianja mengikutkan orang jang berniat bermusuhan dengan SERI PADUKA GOVERNMENT HINDIA NEDERLAND dan ialah mentjutjuk (menghasut) sampai Ajahandanja Tiada mengindahkan sekalian nasihat Wakil Seri Paduka GOVERNMENT itu. Maka kerana itu TUAN SULTAN djuga sama sekali mengikutkan orang jang berniat kedjahatan itu.


Maka mengikut Pasal 6 Ajat 4 pada Politik Contract tahun 1905 maka ketiadaan Sultan mala pemerintahan itu dipegang oleh kita SERI PADUKA TUAN BESAR RESIDENT RIAU dengan daerah takluknya sekalian.


Maka sekarang segala KEPALA-KEPALA dan Bumiputra dari KERADJAAN RIAU LINGGA DENGAN DEARAH TAKLUKNYA sekalian hendaklah mengaku dengan sesungguhnja akan MENDJUNJUNG dan MENGHORMATI dengan TA’ATNJA. Maka SERI PADUKA TUAN RESIDENT RIAU LINGGA DENGAN DAERAH TAKLUKNJA sekalian jang memegang dengan SJAH pangkat SULTAN didalam KERADJAAN INI.


Maka PEMERINTAH ini akan dipegang dengan segala KEADILAN dan apa djuga didjalankan supaja Negeri-negeri dibawah perintah kita ini bertambah-tambah dengan Keramaian dan kesentosaan, maka hendaklah KEPALA-KEPALA dan BUMIPUTRA menolong kita diatas pekerdjaan ini.


SIAPA-SIAPA DJUGA JANG AKAN INGKAR PADA PEMERINTAHAN KITA AKAN DIHUKUM DENGA HUKUMAN JANG PATUT KADAR KESALAHANNJA.


Tanda tangan TUAN BESAR

G.F. de BRUINKOPS

RESIDENT RIAU DAM DAERAH TAKLUKNYA.


Termaktub di Penyengat pada 10hari bulan FEBRUARI tahun 1911 bersamaan 11 hari bulan SYAFAR hari DJU’AT 1329 HIJRAH.


Berikutnya, Sultan Abdul Rahman Muazam Syah yang menaiki kapal baginda yang bernama “Seri Daik” kembali ke Pulau Penyengat untuk mengambil harta benda baginda yang dapat untuk dibawa belayar menuju keSingapura berserta keluarga dan sekelian ramai kerabat kerabat terdekat baginda.

Sultan Abdul Rahman Muazam Syah berserta pembesar pembesar baginda lebih rela menghadapi akibat yang besar ini daripada menandatangani Kontrak Politik Kompeni Belanda yang merugikan darjat kedudukan, marwah, kedaulatan serta kebendaan Kerajaan Riau Lingga.


DiSingapura, Sultan Abdul Rahman Muazam Syah berserta pembesar pembesar baginda berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada Kerajaan Othoman diTurki dan Kerajaan Jepun untuk mendapatkan kembali Kerajaan Riau Lingga yang dirampas oleh Kompeni Belanda. Raja Ali Kelana telah memimpin rombongan untuk menemui Sultan Kerajaan Othoman diTurki dan Raja Khalid Hitam memimpin rombongan untuk menemui Maharaja Jepun untuk mendapatkan bantuan. Dalam pada itu Kompeni Belanda telah mengeluarkan pemberitahuan kepada Sultan Abdul Rahman Muazam Syah berserta kerabat kerabat baginda yang berada diSingapura bahawa harta benda mereka yang berada diPulau Penyengat dan Riau akan dirampas sekiranya mereka tidak kembali untuk menuntutnya, Sultan Abdul Rahman telah memerintahkan orang orang baginda Riau agar memusnahkan kesemua istana istana Kedaton diPulau Penyengat dan Daik Lingga agar tidak dapat diduduki oleh Kompeni Belanda dan tanah tanah yang kosong supaya ditanam agar tidak dirampas.


Kompeni Belanda yang mendapat tahu bahawa Sultan Abdul Rahman Muazam Syah berserta kerabat kerabat baginda yang berada diSingapura sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan bagi mendapatkan kembali Kerajaan Riau Lingga, akhirnya memutuskan untuk membubarkan Kerajaan Riau Lingga secara paksa pada tahun 1913 iaitu 2 tahun setelah merampas kuasa.


Usaha usaha yang dijalankan oleh Sultan Abdul Rahman Muazam Syah berserta kerabat kerabat baginda tidak berjaya, maka kekallah baginda dan lain lainnya menetap diSingapura dan ramai juga yang kemudiannya berpindah keMalaysia. Sultan Abdul Rahman Muazam Syah mangkat di Singapura pada tahun 1930 dan dimakamkan di perkarangan Majid Temenggong Johor diTelok Blangah, Singapura.

No comments:

Post a Comment