Pilih bahasa yang di inginkan:- ENGLISH LANGUAGE / BAHASA MELAYU

Saturday, December 10, 2011

Raja Terakhir Kerajaan Riau - Lingga : Berita Harian Singapura, Sabtu 10 Disember 2011

KERAJAAN Riau-Lingga telah lama pupus ditelan sejarah tetapi darah keturunan raja masih pekat dalam jiwa Tengku Abdul Rahman Tengku Mohamed Yusoff.


Namun, pesara tentera berpangkat staf sarjan dengan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) itu tidak pernah menggembar-gemburkan.

Bukan saja sahabat handai, malah ramai jiran tetangganya di estet perumahan Jurong West, tidak menyedari Tengku Abdul Rahman, 76 tahun, sepatutnya ditabalkan sebagai raja jika kesultanan Riau-Lingga masih wujud.

Ini kerana berdasarkan salasilah, beliau adalah raja terakhir kerajaan yang telah lama tinggal nama dan digulung dalam lipatan sejarah.

Kerajaan Riau-Lingga merupakan serpihan kerajaan Melayu Melaka yang berpindah-randah ke Johor dan akhirnya ke Kepulauan Riau selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis dalam 1511.

Kerajaan tersebut merangkumi Johor, Singapura dan Pahang sekitar abad ke-16 hingga ke-19.

Namun, percaturan politik antara dua kuasa penjajah - Inggeris dan Belanda - berakhir dengan satu perjanjian yang ditandatangani di London dalam 1824.

Perjanjian itu menetapkan kawasan selatan laluan Selat Melaka diserahkan kepada Belanda dan bahagian utaranya termasuk Singapura dikuasai Inggeris.

Perjanjian itu disifatkan seperti pedang yang memutuskan kekuasaan orang Melayu. Riau menjadi daerah kekuasaan Belanda. Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu dikuasai Inggeris.

Di sebalik darah raja yang mengalir dalam tubuh dan jiwanya, Tengku Abdul Rahman kelihatan seperti warga emas yang lain dan meniti kehidupan seperti orang biasa.

Flat HDB empat bilik yang didiami di Blok 425 Jurong West Avenue 1 juga sama seperti flat-flat warga biasa.

'Tiada apa yang nak saya banggakan. Arwah ayah saya pernah menyatakan bahawa kalau kerajaan Riau-Lingga masih wujud, ikut urutannya saya yang berhak memegang takhtanya.

'Tetapi, kesultanan keturunan saya telah luput dan hanya tinggal sejarah. Saya sendiri pun tak simpan dokumen turun-temurun kesultanan dan tidak tahu mana nak cari. Saya tak kisah sangat dan tak ada apa yang nak dibanggakan. Tetapi, dari segi salasilah, nama saya tetap ada dalam urutan kesultanan,' tambah ayah tujuh anak, 13 cucu dan tiga cicit itu.

Beliau adalah cicit Yang Dipertuan Muda ke-10 Riau- Lingga, Raja Mohamed Yusoff Ibni Raja Ali. Kesultanan Riau- Lingga adalah kerajaan Islam yang berpusat di Kepulauan Lingga yang merupakan pecahan daripada Kesultanan Johor.

Kesultanan itu dibentuk berdasarkan perjanjian antara kerajaan Britain dengan Belanda pada 1824 dengan Sultan Abdul Rahman Muadzam Syah sebagai sultan pertamanya.

Namun, Kesultanan tersebut dihapuskan oleh pemerintah kolonial Belanda pada 3 Februari 1911.

Dalam zaman kegemilangannya, Kesultanan tersebut memainkan peranan penting dalam perkembangan bahasa Melayu.

Tokoh besar di balik perkembangan pesat bahasa Melayu ketika itu ialah Raja Ali Haji, seorang pujangga dan sejarawan keturunan Melayu- Bugis.

Tengku Abdul Rahman berkata beliau hanya ada sekeping pinggan yang pernah digunakan di Istana sebagai kenangan.

'Saya dah tak ada apa-apa harta dan simpan sebarang peninggalan sejarah. Datuk saya dan ramai keluarga lari dari Pulau Penyengat tanpa membawa apa-apa apabila Belanda mengambil alih kuasa,' katanya.

Bagi beliau, rentetan sejarah itu kini hanya tinggal dalam kenangan dan zaman kegemilangan kerajaan itu tidak mungkin kembali lagi.

Sumber: Berita Harian Singapura - oleh Saini Salleh


Saturday, September 10, 2011

RAJA AHMAD BIN RAJA HASSAN, TABIB KERAJAAN RIAU LINGGA


RAJA AHMAD TABIB

ULAMA dan tabib atau doktor perubatan yang diriwayatkan dalam artikel ini adalah cucu daripada tokoh besar dalam sejarah Melayu. Dari sebelah ayah beliau adalah cucu Raja Ali Haji, ahli bahasa dan sejarah yang cukup terkenal. Dari sebelah ibunya pula ialah keturunan daripada Raja Abdullah atau al-Marhum Mursyid, Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga ke IX. Ulama dan tabib yang dimaksudkan ialah Raja Ahmad Thabib bin Raja Hasan bin Raja Ali Haji Riau. Ibunya Raja Maimunah adalah puteri Raja Abdullah atau al-Marhum Mursyid. Berdasarkan tulisan Raja Muhammad Yunus Ahmad, dalam Peringatan dinyatakan bahawa Raja Ahmad Thabib lahir tahun 1282 H/1865 M. Dari sumber yang lain diriwayatkan beliau lahir di Pulau Penyengat Indera Sakti.

Berdasarkan sebuah buku catatan tulisan Raja Muhammad Sa'id bin Raja Jaafar dengan lengkap bahawa adik beradik Raja Ahmad Thabib ada 12 orang. Mereka ialah: 1. Raja Abdullah Hakim (seorang ulama besar, Hakim Kerajaan Riau-Lingga), 2. Raja Khalid Haitami (ulama dan tokoh politik, meninggal dunia di Jepun sewaktu menjalankan urusan rahsia/sulit demi memerdekakan seluruh dunia Melayu yang sedang dijajah), 3. Raja Ahmad Thabib (yang sedang diriwayatkan dalam artikel ini), 4. Raja Manshur, 5. Raja Mariyah, 6. Raja Qamariah, 7. Raja Umar (Mudir Mathba'ah Al-Ahmadiah yang pertama), 8. Raja Ali Andi, 9. Raja 'Abdur Rasyid, 10. Raja Kaltsum, 11. Raja Rahah, dan 12. Raja 'Amimah

Sumber terawal tentang Raja Ahmad Thabib ditulis agak ringkas oleh Raja Muhammad Yunus bin Raja Ahmad dalam Peringatan, No.1, th.1, Mei 1939, dicetak oleh Al-Ahmadiah Press, 101 Jalan Sultan, Singapura. Dalam tulisan tersebut terdapat gambar Raja Ahmad Thabib ketika berusia 77 tahun. Di sini saya salin selengkapnya tanpa perubahan bahasa, kecuali ejaan lama diganti dengan ejaan sekarang, adalah sebagai berikut, "Yang Mulia Raja Haji Ahmad bin Raja Hasan, bekas Thabib Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdur Rahman al-Muazzam Syah, bekas Sultan Riau. Yang Mulia ini diputerakan tahun 1282 H (1865 M, pen:). Dalam tahun 1299 H (1881 M, pen:) berangkat ke Mekah. Setelah mengerjakan haji dan melawat seluruh Tanah Arab baharu kembali ke Penyengat, iaitu dalam tahun 1300 H (1882 M, pen:).

''Dalam tahun 1301 H (1883 M, pen:) setelah Yang Mulia ini dapat akuan daripada tabib yang masyhur di Penyengat mulai menjadi Thabib patikuler (maksudnya: swasta, pen:). Dan dalam tahun 1319 H (1901 M, pen:) diangkat menjadi tabib kerajaan dan bagi Duli Yang Mulia Sultan dengan besluit (maksudnya: pengesahan menjadi pegawai kerajaan) bertarikh 25 Rabiulawal 1319 H, No. 6/8. Kemudian setelah terpecat Sultan Riau dari tahta kerajaannya maka Yang Mulia dikurnia oleh Governement Holanda pensiun (pencen, pen:) dimulai dari tahun 1911 M hingga sampai sekarang (maksudnya hingga tahun 1939, sewaktu Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad, riwayat dalam Peringatan, pen:).

''Di Penyengat rupanya dahulu telah menjadi satu negeri yang mempunyai beberapa orang tabib yang masyhur di antaranya banyak orang masih ingat akan kebijakan Thabib Engku Haji Daud P", demikianlah tulisan Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad dalam Peringatan.

Daripada beberapa maklumat yang telah dikumpulkan, Raja Ahmad Thabib menghasilkan beberapa buah karangan, di antaranya ialah: 1. Syair Nasihat Pengajaran Untuk Memelihara Diri, 2. Syair Tuntutan Kelakuan, 3. Risalah Rumah Ubat Raja Haji Ahmad Pulau Penyengat Riau.

Praktik penelitian langsung di lokasi yang saya lakukan di rumah Raja Abdullah Hakim (adik beradik Raja Ahmad Thabib), di Pulau Penyengat, Riau, pada 2 Syaaban 1418 H/2 Disember 1997 M ternyata lebih banyak bahan untuk dibicarakan. Penelitian saya lakukan bersama salah seorang waris tersebut bernama Tengku Fuad bin Tengku Muhammad Yusuf dapat mengesan beberapa buah risalah ilmu perubatan yang ditinggalkan oleh Raja Ahmad Thabib masih dalam bentuk manuskrip dan catatan tersimpan dalam rumah saudaranya itu.

Sebenarnya jauh sebelum tarikh tersebut di atas, dalam tahun 1962 rumah tersebut memang tempat saya berulang alik. Beberapa buah kitab dalam koleksi Raja Abdullah Hakim tamat saya baca, namun ketika itu saya belum tahu membuat penilaian. Beberapa perkara mengenai perubatan Raja Ahmad Thabib saya perkenalkan sebagai berikut: Khasiat Dan Kaifiat Guna Ubat Tuan Brokdes Dan Tuan Setman Napal Negeri Holanda.

Walaupun karya ini disusun oleh Raja Sa'id bin al-Marhum Raja Ahmad, namun ia merupakan dokumen yang terdapat dalam Rumah Ubat Raja Ahmad Thabib Riau. Hanya ditemui berupa lembaran-lembaran, tetapi tarikh penulisan dapat dikesan ialah pada, 1 Muharam 1323 H bersamaan 7 Mac 1905 M sampai 29 Jamadilakhir 1336 H bersamaan 11 April 1918 M. Penulisan dilakukan di Penyengat Riau. Kandungan nama-nama ubat dalam bahasa asing dan kegunaannya.

Beberapa lembar membicarakan perubatan selain yang tersebut di atas, dapat dipastikan karangan Raja Ahmad Thabib, judul sebenar belum diketahui. Kandungannya membicarakan tentang nadi. Manuskrip yang tidak lengkap tersebut dijumpai dalam kitab Thaiyib al-Ihsan fi Thibb al-Insan karya Syeikh Ahmad al-Fathani. Dari sini dapat dipastikan bahawa Raja Ahmad Thabib sempat belajar kitab Thaiyib al-Ihsan fi Thibb al-Insan kepada Syeikh Ahmad al-Fathani kerana mulai kulit depan kitab tersebut hingga akhir terdapat catatan-catatan tulisan tangan Raja Ahmad Thabib. Sebagaimana manuskrip Raja Ahmad Thabib membicarakan nadi dan pemeriksaan penyakit melalui air kencing, dalam karya Syeikh Ahmad al-Fathani juga terdapat bahasan mengenainya.

Untuk mengetahui sedikit pengetahuan perubatan tradisional, untuk kita bandingkan dengan perubatan moden dan jalan bahasa klasik menurut gaya bahasa Melayu Riau, kiranya baik juga saya transliterasikan di antara kandungannya, ialah: "Sebermula jika orang laki-laki nadinya itu besar sebelah kanan, alamat sakit. Dan jika besar sebelah kiri, alamat sihat. Dan jika perempuan besar nadinya itu pada tangan kiri, alamat sakit. Dan jika besar tangan kanan, alamat sihat.
Tulisan Raja Ahmad Thabib selanjutnya, "Fasal Yang Pertama Pada Menyatakan Nadi Yang Bernama Zahabi: Jika ditekan perlahan-lahan, maka keras pukulnya di atas, alamat banyak angin panas dalam anggotanya.

Dan jika ditekan perlahan-lahan, maka ada pukulnya jatuh, barangkali terasa sedikit-sedikit, alamatnya paru-parunya kembang, banyak sejuk.

Dan jika ditekan perlahan-lahan, maka tidak ia memukul di atas, maka ada ia memukul di dalam sedikit-sedikit, alamat banyak balghamnya (balgham = lendir atau dahak, pen:) bercampur angin dan ketul balghamnya itu.

Dan Fasal Yang Kedua Pada Menyatakan Nadi Yang Bernama Turabi: Jika ditekan perlahan-lahan, maka ada pukulnya perlahan-lahan di atas, alamat ada angin sejuk, maka menjadi lesu tubuhnya. Dan jika ditekan keras, maka pukulnya pun keras, alamat ada angin panas pada tubuh.

Dan jika ditekan perlahan-lahan, maka pukulnya itu keras, alamat dalam perutnya terlalu sangat panas.

Dan jika ditekan perlahan-lahan, maka tiada sekali-kali ia memukul...'' (naskhah rosak, tidak dapat dibaca, pen:).
Ada pun pemeriksaan melalui air kencing Raja Ahmad Thabib menulis sebagai berikut, "Fasal Yang Ketiga Pada Menyatakan Melihat Kepada Air Kencing: Bermula jika warna air kencingnya itu kuning pertengahan alamat tabiatnya itu sederhana. Dan jika sangat kuningnya, hampir kepada merah, alamat panas tubuhnya.

Dan jika warna itu sangat merahnya, alamat sakitnya itu di dalam dada, tetapi sejuk. Dan jika warnanya merah bercampur kuning, alamat panas sekalian badan, dan angin, dan demam, dan terkadang yang demikian itu lendir dan darah, maka bisa, serba salah. Tidur pun tidak boleh. Jika tidak boleh, panas, kencing sakit, huap semuanya sampai ke hati.

Dan jika warnanya merah semua, lagi cair, alamat hangus segala badan, darah dan tulang di dalam badan semuanya buruk. Dan tempat kencing sudah luka, ke sungai kecil sakit dan terkadang keluar nanah, atau darah, atau keluar kura kuning-kuning. Dan tiada boleh tidur dan bisa ari-ari. Dan jika warnanya merah atau pekat, alamat luka tempat kencing dan demam siang malam, dan kurus badannya. Tiada boleh tidur, dan hatinya rosak. Lagi tabiatnya ketakutan sentiasa seperti gila. Dan batuk selama-lamanya kemudian keluar darah ... "

Di antara jenis ubat yang dicipta oleh Raja Ahmad Thabib yang paling mujarab dan pada satu ketika dulu pernah terkenal di Riau, Singapura dan Johor terutama dalam lingkungan masyarakat Melayu ialah dinamakan Syarbat Zanjabil. Syarbat Zanjabil ialah sejenis ubat berupa cairan yang dibuat daripada bahan rempah-rempah, berbau agak harum dan dijual dalam botol. Ubat tersebut telah banyak bukti boleh menyembuhkan pelbagai penyakit dalaman seumpama sakit jantung, sakit tulang, sakit kuning dan lain-lain. Selain Syarbat Zanjabil dalam koleksi Raja Ahmad Thabib juga dikenali dua jenis minyak yang dipusakai turun temurun oleh keluarga tersebut, kedua-dua minyak itu ialah Minyak Mengkasar dan Minyak Bau. Kedua-dua jenis minyak tersebut berfungsi untuk jenis sakit luar, seumpama kembung perut, disengat binatang berbisa, bahkan kedua-duanya juga berfungsi untuk ubat kerasukan, kekejangan dan lain-lain.

Ada lagi satu kepakaran Raja Ahmad Thabib yang mungkin tidak dialami oleh pakar perubatan moden sekarang ini, kerana pada satu peristiwa Raja Ahmad Thabib pernah membedah pesakit hanya dengan sembilu (buluh yang ditajamkan seperti pisau). Peristiwa tersebut ketika itu di Pulau Penyengat dan Tanjungpinang belum terdapat peralatan perubatan moden. Diriwayatkan bahawa sebelum melakukan pembedahan yang mendesak dan mendadak Raja Ahmad Thabib menggambarkan pembedahan itu hanyalah untuk pertolongan sementara saja, kerana ketahanan pesakit hanya sekitar antara tujuh sampai sepuluh jam saja.

Untuk menyelamatkannya mesti dibawa ke Singapura supaya diberi ubat-ubat yang lebih sesuai. Pelayaran dari Tanjungpinang ke Singapura ketika itu memakan masa tujuh jam, bererti mesti memburu baki waktu tiga jam yang dikatakan beliau itu. Ternyata pesakit selamat ketika dibedah dan selanjutnya selamat pula dalam perawatan moden di Singapura. Cerita ini saya catat daripada ramai Kerabat Diraja Riau sejak tahun 1962, dan hingga sekarang yang menceritakan masih ada yang hidup, yang telah berumur melebihi 90 tahun.

Ditulis oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH – ULAMA NUSANTARA BLOGSPOT.

Thursday, September 8, 2011

Jamu merupakan ubat tradisional orang-orang di Kepulauan Melayu

Jamu merupakan ubat tradisional orang-orang di Kepulauan Melayu khususnya di Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura. Jamu biasanya dibuat dari bahan-bahan semula jadi, seperti bahagian-bahagian tumbuhan seperti akar, daun dan kulit kayu, dan buah-buahan.

Banyak di bandar-bandar besar jamu ubat herba dijual di tepi jalan oleh penjaja yang membawa minuman yang menyegarkan itu , jamu biasanya pahit tetapi setelah dicampur dengan madu ianya terasa manis. Jamu juga banyak dihasilkan di kilang-kilang oleh syarikat-syarikat besar seperti Fountain, Nyonya MENEER atau Djamu Djago, dan dijual di kedai ubat didalam pelbagai bungkusan paket. Jamu yang dibungkus kering perlu dibubuh dalam air panas terlebih dahulu sebelum diminum.

Jamu dikatakan berasal dari K
erajaan Mataram kira-kira 1300 tahun lalu. Walaupun banyak dipengaruhi oleh Ayurveda dari India, namun Indonesia yang merupakan kepulauan yang luas banyak ditumbuhi dengan pelbagai tumbuh-tumbuhan asli yang tidak dijumpai di India, terdapat juga tanaman dan buah-buahan yang serupa yang terdapat di Australia. Jamu mungkin berbeza dari satu kawasan ke satu kawasan, dan seringkali tidak dituliskan atau dibukukan, terutamanya di kawasan pedalaman. Orang-orang Jawa di Indonesia percaya bahawa jamu adalah anugerah berharga dari Yang Maha Kuasa yang membantu mereka untuk menjalani gaya hidup sihat dan bahagia.

Jamu selalunya diamalkan oleh pakar perubatan asli (dukuns). Walau bagaimanapun, secara umumnya disediakan dan diolah oleh wanita, yang menjualnya di tepi jalan. Secara umumnya, jamu yang berbeza preskripsi tidak ditulis atau dibukukan secara umum tetap
i ianya diturunkan secara turun temurun daripada satu generasi ke satu genarasi.

Jamu merupakan ubat minuman bagi penyelesaian untuk semua jenis penyakit biasa, diantaranya adalah untuk mengatasi kemandulan serta bagi meningkatkan libido bagi lelaki. Ramai orang di kepulauan Melayu bergantung kepada minuman ini untuk menjaga kesihatan mereka, menambah tenaga, kekuatan, kesegaran badan-minda, serta seri dalaman dan luaran. Asal-usulnya masih misteri tetapi kesannya terhadap kehidupan orang-orang ini adalah sangat besar.

Terdapat lebih daripada 300 campuran jamu hari ini, ada yang pahit dan ada pula yang manis, tetapi pada umumnya jamu diketahui jika diambil secara tetap ianya akan menjaga kesihatan mereka dan menghindarkan dari kebinbangan penyakit. Ianya berfungsi lebih daripada minuman kesihatan biasa bagi orang orang di kepulauan Melayu, dan telah menjadi minuman rutin bagi mereka untuk melegakan sakit-sakit badan, memulihkan tenaga, mengekalkan kekuatan, dan kesegaran badan-minda. Orang-orang di kepulauan Melayu mengambil setiap hari jamu untuk mengimbangi kecantikan dalaman dan luaran fizikal mereka, dan kecergasan mental. Jamu adalah satu sistem kesihatan yang bersepadu yang telah diolah untuk mencapai kesempurnaan terutamanya oleh pakar pakar jamu di Indonesia dan Malaysia.

Lama sebelum manusia pandai mengira masa dari segi jam dan minit, dan lama sebelum dunia menemui aspirins dan antibiotik, orang-orang di Indonesia dan Malaysia menemui konsep jamu sebagai penyelesaian kepada isu-isu kesihatan mereka. Nenek moyang kita bekerja untuk menjadikan jamu lebih sempurna, dengan campuran kompleks rempah-ratus, dan bahan-bahan lain yang mereka sediakan bagi penyelesaian masalah kesihatan serta untuk memastikan diri mereka senantiasa sihat, stabil dan ceria selalu. Mereka menggunakan pengetahuan asal serta kemahiran mereka dalam pengadunan jamu, agar menjadi minuman yang sempurna, sebagai pemakanan yang diperlukan untuk kesihatan badan dan minda. Segelas jamu sehari akan menhindarkan daripada penyakit kronik. Ia membantu orang ramai untuk menyembuhkan dengan cepat, meremajakan, dan menguatkan sistem imun. Pada masa kini ubat herba jamu juga dijual dalam bentuk tablet, caplets dan kapsul.


Salah satu ubat jamu herba yang paling popular dan terbukti berkesan bagi orang lelaki adalah Pearl Plus Pacak langit yang dihasilkan di Malaysia. Ia dibuat daripada 5 herba semulajadi dunia yang terbaik dan telah digunakan selama berabad-abad untuk merawat masalah libido lelaki, iaitu herba Ginko Biloba, Tribulus Terristris, Butea Superba, Eurycoma longifolia dan Smilax. Setiap kapsul Pearl Plus mengandungi campuran ekstrak kelima lima herba sampai dos 500 mg. Untuk maklumat lanjut sila lawati laman http://www.manlyherbal.info/

Thursday, April 28, 2011

Wednesday, April 27, 2011

Daik (Bekas Pusat Kerajaan Riau Lingga)


Replika Istana Dammah

Daik, dahulunya hampir selama seratus tahun menjadi pusat kerajaan Riau-Lingga, sekarang menjadi ibu kota Kecamatan Lingga, Kabupaten Kepulauan Riau.

Kota Daik yang terletak di sungai Daik, hanya dapat dilalui perahu atau kapal motor di waktu air pasang. Kalau air surut, sungai Daik mengering dan tak dapat dilalui. Perhubungan lainnya adalah melalui jalan darat ke desa Resun di sungai Resun. Dari sana melalui sungai itu terus ke muara (Pancur) yang terletak di pantai utara pulau Lingga, berseberangan dengan Senayang.

Selama seratus tahun Daik menjadi pusat kerajaan, tentulah terdapat berbagai peninggalan sejarah dan sebagainya. Raja-raja kerajaan Riau-Lingga yang memerintah kerajaan selama periode pusat kerajaan di Daik Lingga yaitu : Sultan Abdurakhman Syah (1812-1832), Sultan Muhammad Syah (1832-1841), Sultan Mahmud Muzafar Syah (1841-1857), Sultan Sulalman Badrul Alam Syah II (1857-1883) dan Sultan Abdurrakhman Muazzam Syah (1883-1911).

Mesjid Jamik Daik

Mesjid Jamik terletak di kampung Darat, Daik Lingga, dibangun pada masa pemerintahan Sultan Muhammad Riayat Syah (1761-1812) pada masa awal beliau memindahkan pusat kerajaan dari Bintan ke Lingga. Sumber tempatan menyebutkan bahwa bangunan mesjid ini dimulai sekitar tahun 1803, dimana bangunan aslinya seluruhnya terbuat dari kayu. Kemudian setelah Mesjid Penyengat selesai dibangun, maka bangunan Mesjid Jamik ini dirombak dan dibangun lagi dari beton.

Mesjid ini di dalam ruang utamanya tidaklah mempergunakan tiang penyangga kubah atau lotengnya. Pada mimbarnya terdapat tulisan yang terpahat dalam aksara Arab-Melayu (Jawi), berisi : “Muhammad SAW. Pada 1212 H hari bulan Rabiul Awal kepada hari Isnen membuat mimbar di dalam negeri Semarang Tammatulkalam.” Tulisan ini memberi petunjuk, bahwa mimbar yang indah ini dibuat di Semarang, Jawa Tengah dengan memasukan motif-motif ukiran tradisional Melayu.

Bekas Istana Damnah

Yang tersisa dari bangunan yang dahulunya sangat megah ini hanyalah tangga muka, tiang-tiang dari sebahagian tembok pagarnya yang seluruhnya terbuat dari beton. Sekarang puing istana ini terletak dalam hutan belantara yang disebut kampung Damnah.

Istana Damnah didirikan oleh Raja Muhammad Yusuf AI-Ahmadi, Yang Dipertuan Muda Riau X (1857-1899). Dalam tahun 1860 olehnya didirikan istana Damnah untuk kediaman Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah II, dimana sebelumnya Sultan ini di Istana Kota Baru tak berjauhan dari pabrik sagu yang didirikannya.

Gedung Bilik 44

Yang disebut gedung bilik 44 adalah pondasi gedung yang akan dibangun oleh Sultan Mahmud Muzafar Syah. Gedung ini baru dikerjakan pondasinya saja karena Sultan keburu dipecat Belanda tahun 1812. Lokasinya terletak di lereng gunung Daik.

Walaupun gedung ini belum sempat berdiri, tetapi dari pondasinya yang berjumlah 44 itu sudah dapat kita bayangkan betapa besarnya minat Sultan Mahmud untuk membangun negerinya. Di gedung ini, menurut rencana Sultan akan ditempatkan para pengrajin yang ada di kerajaan Riau-Lingga, supaya mereka dapat bekerja lebih tenang serta mengembangkan keahliannya. Namun cita-cita Sultan Mahmud terkandas oleh penjajah asing.

Kubu Pertahanan

Daik sebagai pusat kerajaan Riau-Lingga tentulah memerlukan pengawalan ketat. Perairan selat Malaka yang masa silam selalu ramai dengan desingan peluru dan asap mesiu. Untuk menjaga berbagai kemungkinan dalam pertempuran, di Daik Lingga dan sekitarnya didirikan kubu-kubu yang kokoh dengan persenjataan lengkap menurut keadaan zamannya, yang terdapat di pulau Mepar, Kubu Bukit Ceneng dan Kubu Kuala Daik.

Makam Bukit Cengkeh

Di Bukit Cengkeh, Daik, terdapat kompleks makam raja-raja Riau-Lingga. Bangunan ini dulunya amat indah, bentuknya segi delapan dengan kubah bergaya arsitektur Turki. Kini makam ini sudah runtuh, yang tersisa hanya sebagian dindingnya dan pagar beton kelilingnya. Di kompleks makam ini terdapat pusara : Sultan Abdurrakhman Syah (1812-1832), beberapa anggota keluarga kerajaan Riau-Lingga. Makam ini tidaklah sulit dicapai karena terletak di pinggir jalan raya, di atas Bukit Cengkeh yang indah pemandangannya.

Makam Merah

Disebut makam merah karena warna cat bangunannya merah, tiangnya terbuat dari besi, pagarnya dari besi dan atapnya seng tebal. Makam ini tidak berdinding dan atapnya berbentuk segi empat melingkari makam. Makam ini letaknya tidaklah berapa jauh dari bekas istana Damnah.

Makam ini terkenal bukanlah karena bangunan makamnya, tetapi karena yang dimakamkan disini adalah Raja Muhammad Yusuf Yang Dipertuan Muda Riau X.

Rumah Datuk Laksemana Daik

Bangunan tua ini terletak di kampung Bugis, berbentuk limas penuh. Rumah ini selain pernah ditempati oleh Datuk Laksemana Daik,pernah pula ditempati oleh Datuk Kaya pulau Mepar, karena beliau ini menantu Datuk Laksemana. Rumah ini masih agak baik dan ditempati oleh keluarga Datuk Laksemana dan Datuk Kaya Daik.

Di rumah ini masih tersimpan sisa-sisa benda milik Datuk Laksemana dan Datuk Kaya, seperti : beberapa jenis pakatan kebesaran Datuk Kaya dan Datuk Laksemana, benda-benda upacara adat, motifmotif tenunan, batik, ukiran-ukiran dan sebagainya.

Saturday, January 29, 2011

Sultan Abdul Rahman Muazam Syah Sultan Riau Lingga Ke-10


Sultan Abdul Rahman Muazam Syah merupakan Sultan Riau Lingga Ke-10. Baginda mendapat kuasa daripada bonda baginda Tengku Embong Fatimah Binti Sultan Mahmud Muzafar Syah, Yang Dipertuan Besar Riau Lingga ke-8. Sultan Mahmud Muzafar Syah tersebut telah diturunkan dari tahta oleh Kompeni Belanda pada tahun 1857 kerana tiada mahu turut arahan dan peraturan mereka. Kompani Belanda kemudiannya meminta Yang Dipertuan Muda Raja Abdullah serta kerabat2 Diraja Riau Lingga untuk menabalkan saudara kandung Sultan Mahmud Muzafar Syah iaitu Tengku Sulaiman sebagai Yang Dipertuan Besar Riau Lingga ke-9 bergelar Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah.


Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah mangkat pada tahun 1883 dan tidak mempunyai putera yang dapat menggantikan baginda, sebab putera baginda Tengku Daud yang menjadi Tengku Besar telah mangkat terlebih dahulu.

Anak saudara almarhum iaitu Tengku Embong Fatimah Binti Sultan Mahmud Muzafar Syah kemudiannya ditabalkan sebagai pengganti almarhun Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. Kompani Belanda serta Yang Dipertuan Muda Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi dan kerabat2 Diraja Riau Lingga kemudian nya menabalkan Tengku Embong Fatimah bagi menggantikan almarhun Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. Setelah 2 tahun kemudian Tengku Embong Fatimah meminta persetujuan bersuaminya, Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi, Yang Dipertuan Muda Riau ke-10 untuk menyerahkan kuasanya kepada puteranya, Raja Abdul Rahman menjadi Sultan Yang Dipertuan Besar bergelar Sultan Abdul Rahman Muazam Syah pada tahun 1885.


Sultan Abdul Rahman Muazam Syah memerintah Kerajaan Riau Lingga daripada kediaman rasmi baginda diDaik, Lingga. Manakala ayahanda baginda, Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi yang memegang jawatan Yang Dipertuan Muda Riau ke-10 memerintah daripada kediaman rasmi Yang Dipertuan Muda Riau diPulau Penyengat.


Mulai tahun 1899 setelah mangkatnya Yang Dipertuan Muda Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi mangkat diDaik, Lingga, Kompani Belanda mula memberi tekanan kepada Sultan Abdul Rahman Muazam Syah dengan memberikan arahan arahan secara paksaan. Sebagai permulaan Jawatan Dipertuan Muda Riau yang sepatutnya disandang oleh saudara kandung Sultan Abdul Rahman Muazam Syah sendiri iaitu Raja Ali Kelana tidak dibenarkan. Sebaliknya Sultan Abdul Rahman Muazam Syah dikehendaki memegang kedua dua Jawatan Yang Dipertuan Besar dan Yang Dipertuan Muda Riau.


Sultan Abdul Rahman Muazam Syah kemudian memindahkan pusat pemerintahan dan kediaman rasmi baginda dari Daik – Lingga ke Pulau Penyengat pada tahun 1903. Sejak itu Sultan Abdul Rahman Muazam Syah jarang jarang pergi ke Lingga kecuali pada upacara upacara rasmi seperti “Mandi Safar” dan lain lain. Sebagai wakil Kerajaan dikawasan Lingga baginda mengangkat Raja Abdul Rahman Bin Abdullah.


Pada tahun 1905 Kompeni Belanda mula memberikan tekanan politik serta mempersempit kan kemerdekaan Kerajaan Riau Lingga dengan memaksa Sultan Abdul Rahman untuk menandatangani kontrak yang menghendaki Sultan supaya menurut arahan arahan yang tertera didalam kontrak tersebut, seperti bendera Belanda haruslah dinaikkan lebih tinggi daripada bendera Kerajaan Riau Lingga dan sebagainya. Namun Sultan Abdul Rahman berserta kerabat kerabat baginda yang bertindak sebagai penasihat kerajaan Riau Lingga membuat bermacam macam tindakan dan tidak mengikuti arahan arahan Kompeni Belanda seperti yang terdapat didalam kontrak tersebut.


Sementara itu Tengku Umar iaitu putera Sultan Abdul Rahman yang memegang jawatan Tengku Besar (sama seperti Tengku Mahkota), mula membentuk semacam barisan tentera sukarelawan Kerajaan Riau Lingga di Pulau Penyengat. Kompeni Belanda yang mula resah serta takut bangkitnya kembali semangat jihad seperti yang ditunjukkan diwilayah ini oleh Raja Haji Fisabillah, telah berusaha untuk mencegah daripada membesarnya tentera sukarelawan Kerajaan Riau Lingga tersebut. Oleh yang demikian, Kompeni Belanda cuba memaksa Sultan Abdul Rahman untuk satu lagi kontrek perjanjian baru yang merugikan darjat kedudukan, marwah, kedaulatan serta kebendaan Kerajaan Riau Lingga. Namun tekanan daripada pihak Kompani Belanda untuk menandatangi kontrak tersebut ditolak oleh Sultan atas nasihat pembesar pembesar baginda yang tegas seperti Raja Ali Kelana, Raja Khalid Hitam dan kerabat kerabat terdekat baginda yang bertindak selaku penasihat Kerajaan Riau Lingga.


Pada minggu pertama bulan Safar tahun 1329 Hijrah bersamaan dengan awal bulan Februari tahun 1911, Sultan Abdul Rahman Muazam Syah pergi ke Daik – Lingga untuk melakukan upacara “Mandi Safar” dan pada hari tersebut jugalah Kompeni Belanda mula melakukan rampasan kuasa terhadap pemerintahan Kerajaan Riau Lingga di pusat pemerintahannya diPulau Penyengat. Pada pagi itu, sebuah kapal perang Belanda telah mendekati Pulau Penyengat dan mendaratkan beratus ratus orang askar “marsose”nya dan mula mengepung istana istana Kedaton, tempat kediaman Tengku Besar, Raja Ali Kelana dan tempat tempat lainnya diPulau Penyengat itu. Setelah itu datanglah Kontelir (Pegawai Daerah Belanda) H.N.Veemstra dari Tanjung Pinang untuk menyampaikan sebuah pemberitahuan yang berbunyi:-


PEMBERI TAHU


Dengan nama JANG DIPERTUAN BESAR GOVERNEUR GENERAL BETAWI dichabarkan :


Maka adalah Seri Paduka Government Hindia Nederland menimbang fardu ini hari djuga SERI PADUKA TUAN SULTAN ABDULRAHMAN MU’ADZAM SYAH dan TENGKU UMAR (TENGKU BESAR) Keradjaan Riau Lingga serta daerah takluknya diberhentikan dari pada pangkatnya itu.


Maka Tuan Sultan diberhentikan dari pangkatnja itu sebab banjak kali melanggar Politik Contract; beberapa kali djuga diberi nasihat oleh SERI PADUKA GOVERNEUR GENERAL BETAWI dan SERI PADUKA TUAN BESAR RESIDENT TANDJUNG PINANG. Maka itu dengan tiada Tuan SULTAN mengindahkan atau mengingatkan perdjandjian jang akan mengubahkan apa-apa jang tiada patut itu. Dan tiada sekali-kali akan melanggar Politik Contract lagi dan menurut segala perintah dan aturan SERI PADUKA GOVERNMENT dan wakilnja.


Dan djuga Tuan SULTAN hendak mendjalankan dan mengaturkan bersama-sama Wakil GOVERNMENT pemerintahan jang adil didalam Negerinja. Maka mungkirlah ia didalam perdjandjiannja dan djuga melanggar aturan jang menentang pasal memakai Bendera HOLLANDA.


Maka TENGKU BESAR diberhentikan dari pangkatnja itu sebab sama sekali ianja mengikutkan orang jang berniat bermusuhan dengan SERI PADUKA GOVERNMENT HINDIA NEDERLAND dan ialah mentjutjuk (menghasut) sampai Ajahandanja Tiada mengindahkan sekalian nasihat Wakil Seri Paduka GOVERNMENT itu. Maka kerana itu TUAN SULTAN djuga sama sekali mengikutkan orang jang berniat kedjahatan itu.


Maka mengikut Pasal 6 Ajat 4 pada Politik Contract tahun 1905 maka ketiadaan Sultan mala pemerintahan itu dipegang oleh kita SERI PADUKA TUAN BESAR RESIDENT RIAU dengan daerah takluknya sekalian.


Maka sekarang segala KEPALA-KEPALA dan Bumiputra dari KERADJAAN RIAU LINGGA DENGAN DEARAH TAKLUKNYA sekalian hendaklah mengaku dengan sesungguhnja akan MENDJUNJUNG dan MENGHORMATI dengan TA’ATNJA. Maka SERI PADUKA TUAN RESIDENT RIAU LINGGA DENGAN DAERAH TAKLUKNJA sekalian jang memegang dengan SJAH pangkat SULTAN didalam KERADJAAN INI.


Maka PEMERINTAH ini akan dipegang dengan segala KEADILAN dan apa djuga didjalankan supaja Negeri-negeri dibawah perintah kita ini bertambah-tambah dengan Keramaian dan kesentosaan, maka hendaklah KEPALA-KEPALA dan BUMIPUTRA menolong kita diatas pekerdjaan ini.


SIAPA-SIAPA DJUGA JANG AKAN INGKAR PADA PEMERINTAHAN KITA AKAN DIHUKUM DENGA HUKUMAN JANG PATUT KADAR KESALAHANNJA.


Tanda tangan TUAN BESAR

G.F. de BRUINKOPS

RESIDENT RIAU DAM DAERAH TAKLUKNYA.


Termaktub di Penyengat pada 10hari bulan FEBRUARI tahun 1911 bersamaan 11 hari bulan SYAFAR hari DJU’AT 1329 HIJRAH.


Berikutnya, Sultan Abdul Rahman Muazam Syah yang menaiki kapal baginda yang bernama “Seri Daik” kembali ke Pulau Penyengat untuk mengambil harta benda baginda yang dapat untuk dibawa belayar menuju keSingapura berserta keluarga dan sekelian ramai kerabat kerabat terdekat baginda.

Sultan Abdul Rahman Muazam Syah berserta pembesar pembesar baginda lebih rela menghadapi akibat yang besar ini daripada menandatangani Kontrak Politik Kompeni Belanda yang merugikan darjat kedudukan, marwah, kedaulatan serta kebendaan Kerajaan Riau Lingga.


DiSingapura, Sultan Abdul Rahman Muazam Syah berserta pembesar pembesar baginda berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada Kerajaan Othoman diTurki dan Kerajaan Jepun untuk mendapatkan kembali Kerajaan Riau Lingga yang dirampas oleh Kompeni Belanda. Raja Ali Kelana telah memimpin rombongan untuk menemui Sultan Kerajaan Othoman diTurki dan Raja Khalid Hitam memimpin rombongan untuk menemui Maharaja Jepun untuk mendapatkan bantuan. Dalam pada itu Kompeni Belanda telah mengeluarkan pemberitahuan kepada Sultan Abdul Rahman Muazam Syah berserta kerabat kerabat baginda yang berada diSingapura bahawa harta benda mereka yang berada diPulau Penyengat dan Riau akan dirampas sekiranya mereka tidak kembali untuk menuntutnya, Sultan Abdul Rahman telah memerintahkan orang orang baginda Riau agar memusnahkan kesemua istana istana Kedaton diPulau Penyengat dan Daik Lingga agar tidak dapat diduduki oleh Kompeni Belanda dan tanah tanah yang kosong supaya ditanam agar tidak dirampas.


Kompeni Belanda yang mendapat tahu bahawa Sultan Abdul Rahman Muazam Syah berserta kerabat kerabat baginda yang berada diSingapura sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan bagi mendapatkan kembali Kerajaan Riau Lingga, akhirnya memutuskan untuk membubarkan Kerajaan Riau Lingga secara paksa pada tahun 1913 iaitu 2 tahun setelah merampas kuasa.


Usaha usaha yang dijalankan oleh Sultan Abdul Rahman Muazam Syah berserta kerabat kerabat baginda tidak berjaya, maka kekallah baginda dan lain lainnya menetap diSingapura dan ramai juga yang kemudiannya berpindah keMalaysia. Sultan Abdul Rahman Muazam Syah mangkat di Singapura pada tahun 1930 dan dimakamkan di perkarangan Majid Temenggong Johor diTelok Blangah, Singapura.

Saturday, January 8, 2011

Raja Ali Kelana Ibni Raja Muhammad Yusuf al-Ahmadi

Nama lengkapnya Raja Ali Kelana Ibni Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi (Yang Dipertuan Muda ke-10, 1858 Masihi - 1899 Masihi) Ibni Raja Ali (Yang Dipertuan Muda ke-8, 1844 Masihi - 1857 Masihi) Ibni Raja Jaafar (Yang Dipertuan Muda ke-6, 1808 Masihi - 1832 Masihi) Ibni Raja Haji asy-Syahidu fi Sabilillah (Yang Dipertuan Muda ke-4, 1777 Masihi - 1784 Masihi) Ibni Upu Daeng Celak (Yang Dipertuan Muda ke-2, 1729 Masihi - 1746 Masihi). Daripada nama-nama tersebut dapat disimpulkan bahawa lima orang Yang Dipertuan Muda mulai ayah hingga ke atas adalah pertalian lurus pada Raja Ali Kelana. Raja Ali Kelana tidak sempat menjadi Yang Dipertuan Muda kerana kerajaan Riau-Lingga dimansukhkan oleh penjajah Belanda dan sultan terakhir Sultan Abdur Rahman Muazzam Syah, adik beradik dengan Raja Ali Kelana hijrah ke Singapura (1911 Masihi).

Perlu dicatatkan di sini bahawa mulai Yang Dipertuan Muda yang pertama (Upu Daeng Merewah) tahun 1722 Masihi sampai tahun 1825 Masihi (masa pemerintahan Raja Jaafar Yang Dipertuan Muda ke-6) bernama Kerajaan Riau-Lingga-Johor dan Pahang dan takluknya. Mulai tahun 1844 Masihi sampai tahun 1911 Masihi bernama Kerajaan Riau-Lingga dan takluknya.

Pangkat

Barangkali di dalam kerajaan Melayu yang memperoleh pangkat atau gelar `Kelana' hanya disandang oleh keturunan raja Bugis di dalam kerajaan Riau-Lingga, sekurang-kurangnya yang paling terkenal dengan gelar itu ialah Raja Haji asy-Syahidu fi Sabilillah. Yang dimaksudkan dengan `Kelana' ialah sebagai petanda calon untuk menjadi Yang Dipertuan Muda atau Yamtuan Muda. Raja Ali Kelana wafat pada hari Ahad, pukul 8.00 pagi di rumahnya di Jalan Teberau, Johor Bahru pada 10 Jamadilakhir 1346 Hijrah/4 Disember 1927 Masihi

PENDIDIKAN

Pendidikan asas Raja Ali Kelana dalam bidang Islam, bahasa Melayu, bahasa Arab, adat istiadat kebangsawanan Melayu dan undang-undang kepemerintahan adalah diperoleh di Riau. Di Riau pada zaman kanak-kanaknya sangat ramai ulama dan cendekiawan, sama ada yang berasal dari Riau seperti Raja Ali Haji yang sangat terkenal, mahu pun yang datang dari luar. Sewaktu Raja Ali Kelana akan ke Mesir, beliau singgah di Mekah dan sempat memperdalam pelbagai pengetahuan daripada Syeikh Ahmad al-Fathani, Sayid Abdullah az-Zawawi dan lain-lain.

Setelah selesai mengerjakan haji pada tahun 1322 Hijrah/Februari atau Mac 1905 Masihi, Raja Ali Kelana menerima baiah Thariqat Naqsya-bandiyah Mujaddidiyah Ahmadiyah Muzhhariyah daripada keluarga az-Zawawi, sebelum itu beliau telah beramal dengan Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah daripada Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minankabawi. Dengan baiah atau tawajjuh, Raja Ali Kelana juga diberi gelar dihujung namanya dengan `al-Ahmadi' sebagaimana gelar yang pernah diberikan kepada ayahnya, Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi. Yang dimaksudkan dengan `al-Ahmadi' pada gelaran tersebut ialah dibangsakan kepada mujaddid (penemu sesuatu yang baru) Thariqat Naqsyabandiyah bernama Sayid Ahmad al-Muzhhar. Jika bergelar `al-Khalidi' adalah dibangsakan kepada mujaddidnya yang bernama Syeikh Khalid al-Kurdi.

AKTIVITI

Organisasi yang pertama didirikan oleh orang Melayu ialah Jamiyatul Fathaniyah oleh Syeikh Ahmad al-Fathani di Mekah (1290 Hijrah/1873 Masihi) yang diikuti oleh murid-murid beliau dengan mendirikan pelbagai organisasi. Murid-murid Syeikh Ahmad al-Fathani di Riau termasuk Raja Ali Kelana mendirikan Jamiyatul Rusydiyah atau Rusydiyah Klab, 1298 Hijrah/1880 Masihi. Oleh orang-orang yang sama di Riau juga diasaskan Jamiyatul Khairiyah.

Raja Ali Kelana pernah menerima perlantikan daripada Syeikh Ahmad al-Fathani supaya bergerak dalam bidang percetakan untuk kawasan Singapura dan Riau yang berpusat di tempat pemerintah Riau-Lingga dijalankan, sedang Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani untuk kawasan Kelantan dan Patani yang berpusat di Kota Bharu Kelantan.

Dalam catatan didapati bahawa Raja Ali Kelana beberapa kali mengikut Syeikh Ahmad al-Fathani ke Istanbul, Turki-Usmaniyah kerana urusan diplomatik politik dalam rangka membebaskan dunia Melayu daripada segala macam bentuk penjajahan. Kepergiannya ke Turki yang dapat dicatat, antaranya pada tahun 1301 Hijrah/1883 Masihi, 1312 Hijrah/1895 Masihi dan setelah selesai mengerjakan haji pada akhir tahun 1322 Hijrah/Februari atau Mac 1905 Masihi atau Muharam 1323 Hijrah/ Februari atau Mac 1905 Masihi.

Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia, Raja Ali Kelana pergi ke Turki lagi pada tahun 1913 Masihi. Keberangkatan ke Turki itu dengan persetujuan antara Raja Ali Kelana dan Raja Khalid Hitam (cucu Raja Ali Haji), seorang ke Turki dan seorang lagi ke Jepun. Raja Khalid Hitam dalam tahun itu juga (1913 Masihi) berangkat ke Jepun untuk yang kedua kalinya. Pertama kali ke Jepun pada tahun 1911 Masihi. Sama ada ke Turki atau ke Jepun, tujuannya adalah mencari sokongan untuk mengembalikan kesultanan Riau-Lingga yang telah dimansukhkan oleh penjajah Belanda.

Pada tahun 1324 Hijrah/1906 Masihi, Syarikat Al-Ahmadi didirikan oleh Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar dan kerabat kerajaan Riau di Pulau Midai, Pulau Tujuh, yang direstui oleh Sultan Abdur Rahman Muazzam Syah, Sultan Riau-Lingga. Tidak berapa lama setelah syarikat itu diasaskan atas titah Sultan Riau-Lingga supaya Raja Ali Kelana (saudara Sultan) mengeluarkan modal bersama membeli sebuah kapal yang dinamakan `Kapal Karang'. Kapal tersebut beroperasi mengangkut kelapa kering, hasil bumi lainnya dan hasil laut dari Pulau Tujuh ke Singapura dan sebaliknya dari Singapura ke Pulau Tujuh membawa semua barangan keperluan harian, terutama makanan dan pakaian. Tentang ini disebut oleh Raja Haji Ahmad di Singapura dalam surat kepada saudara sepupunya, Haji Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman (ayah penulis), Kuasa Ahmadi & Co. Midai diPulau Midai.

Cawangan

Selain bergerak dalam perkapalan dan pengangkutan, Raja Ali Kelana adalah pemilik Syarikat Batam Bricks Works Limited yang bergerak dalam pemprosesan batu-bata di Pulau Batam, Riau. Syarikat itu mempunyai cawangan dan berpejabat di Singapura. Gerakan niaga Raja Ali Kelana mengalami kerugian besar dan berakhir pada tahun 1329 Hijrah/1911 Masihi. Kejatuhan perniagaan dan termasuk tekanan pihak penjajah Belanda terhadap Raja Ali Kelana merupakan sebab beliau pindah ke Johor. Di Johor beliau dilantik sebagai Syaikhul Islam Kerajaan Johor.

PENULISAN

1. Pohon Perhimpunan Pada Menyatakan Peri Perjalanan, diselesaikan pada hari Sabtu, 23 Ramadan 1313 Hijrah/6 Mac 1896 Masihi. Kandungannya merupakan laporan perjalanan Raja Ali Kelana bersama conteleur Belanda ke Pulau Tujuh. Dimulai catatan ketika berangkat dari pelabuhan Tanjungpinang, hari Rabu 6 Ramadan 1313 Hijrah/19 Februari 1896 Masihi dan diakhiri dengan tiba kembali di pelabuhan yang sama pada hari Sabtu pukul 5.00 petang, 23 Ramadan 1313 Hijrah/6 Mac 1896 Masihi. Dicetak oleh Maktabah wa Mathba'ah ar-Riyauwiyah, Pulau Penyengat, 1315 Hijrah/1897 Masihi.

2. Perhimpunan Pelakat, diselesaikan pada tahun 1316 Hijrah/1899 Masihi. Kandungannya mengenai peraturan yang telah dimasyarakatkan antara Kerajaan Riau-Lingga dengan Gubernemen Hindia-Nederland dari tahun 1286 Hijrah hingga tahun 1307 Hijrah. Dicetak oleh Mathba'ah ar-Riyauwiyah, Pulau Penyengat, 1317 Hijrah. Karya pertama dan kedua ini telah ditransliterasi daripada Melayu/Jawi ke Latin/Rumi oleh Hasan Junus dimuat dalam karyanya berjudul Pendokumentasian Naskah Kuno Melayu dan Kajian Khusus, diterbitkan oleh Pemerintah Daerah Tingkat I Propinsi Riau, Proyek Inventarisasi dan Dokumentasi Kebudayaan Daerah Riau Pekan Baru, 1993.

3. Bughyatul Ani fi Hurufil Maani, diselesaikan tidak diketahui tarikh. Kandungannya membicarakan tatabahasa. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, 1341 Hijrah/1922 Masihi

4. Rencana Mudah Pada Mengenal Diri Yang Indah, diselesaikan di Johor Bahru, pada 3 Rejab 1344 Hijrah/17 Januari 1926 Masihi. Kandungannya adalah pelajaran tasawuf yang ditulis dalam bentuk soal jawab. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, 1344 Hijrah yang dibenarkan mencetak kepada Sahal bin Ahmad.

5. Kesempurnaan Yang Lima Bagi Islam Menerima, diselesaikan di Bukit Kenangan, Negeri Johor Bahru pada 3 Jamadilakhir 1345 Hijrah/8 Disember 1926 Masihi. Kandungannya, pelajaran fardu ain. Dicetak oleh Maktabah wa Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 27 Ramadan 1345 Hijrah.

6. Kumpulan Ringkas atau judul yang lebih lengkap diungkapkan dalam bentuk bersajak Kumpulan Ringkas * Berbetulan Lekas Pada Orang Yang Pantas * Dengan Fikiran Yang Lintas, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungannya, terkumpul di dalamnya 31 keringkasan yang terdiri daripada 160 perbicaraan. Sub judul yang penting yang jarang dibicarakan tetapi termaktub dalam karya ini antaranya ialah Pada Menyatakan Kelebihan Akal, Jadi Bekal, Pada Menyatakan Berhimpun Bersatu Dengan Pengetahuan, Berpegang Kukuh Oleh Bangsawan, Pada Menyatakan Tawarikh Segala Raja-Raja Dahulu Kala, Pada Menyatakan Sultan Yang Ada Sekarang, Daripada Ayah-Bundanya Terang, Pada Menyatakan Asal Melayu Diambil Dalil, Daripada Al-Marhum Abdul Jalil, Pada Menyatakan Sebab Gelar Upu Kelana Dengan Shahihah, Yang Dipertuan Muda Sultan Alauddin Syah, Pada Menyatakan Hikayat Yang Keempat Ditanya Orang, Akan Aristotales Dijawab Terang, Pada Menyatakan Hikayat Yang Keenam, Cetera Iskandar Muda Elok Ditanam, Pada Menyatakan Hikayat Yang Kesembilan, Yang Dikehendaki Bagi Sultan, Pada Menyatakan Hikayat Yang Kesepuluh Pada Perjalanan, Menteri Yang Elok Diperkenan, Pada Menyatakan Hikayat Yang Kesebelas Menteri Terpuji, Sunyi Mendapat Nama Yang Keji, Pada Menyatakan Hikayat Yang Kedua belasnya, Peri Berubah Niat Rajanya, Pada Menyatakan Hikayat Yang Ketiga belas, Menter Khianat Lagi Pemulas. Ringkasan Yang Ke-30 dan Ringkasan Yang Ke-31 diungkapkan dalam bentuk puisi/syair.

Intelektual

Cetakan pertama Mathba'ah Al-Imam, No. 26 Robinson Road, Singapura, 1328 Hijrah. Cetakan yang kedua diusahakan oleh Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur 1420 Hijrah/1999 Masihi.

Artikel ini penulis tutup dengan pandangan bahawa walaupun Raja Ali Kelana seorang tokoh intelektual Islam pada zamannya, namun beliau tetap berada di dalam lingkungan `Kaum Tua', berbeza dengan Sayid Syeikh al-Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin, kedua-duanya terkenal sebagai pelopor `Kaum Muda'. Sama ada Sayid Syeikh al-Hadi mahu pun Syeikh Tahir Jalaluddin adalah tokoh yang sangat erat hubungannya dengan Raja Ali Kelana, berbeza dalam pemikiran keIslaman tetapi bersatu untuk kepentingan umum dan kemaslahatan.

Tulisan: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH - Ulama-Nusantara Blogspot